MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Selangor

Dari teman sekelas jadi suami isteri

SEBAGAI naib juara pertandingan nyanyian Mentor musim pertama pada tahun 2005, Nabil tentunya mempunyai ramai peminat terutama daripada kalangan wanita.

Bagaimanapun, penyanyi berusia 27 tahun ini seakan-akan tidak mengambil kesempatan untuk mendampingi para peminat perempuan yang banyak menyokongnya selama ini.

Nabil atau nama penuhnya Nabil Zamanhuri tidak leka dibuai glamor, sebaliknya dia terus mengorak langkah melanjutkan pengajiannya di Universiti Multimedia Malaysia (MMU) selepas itu.

Namun, jodoh dan ketentuan hidupnya terletak dalam kuasa Allah yang mana ketika melanjutkan pengajian di MMU itulah dia dipertemukan dengan gadis idamannya, Adelia Citra Hapsari, 26.

Menurut protege penyanyi Nora dalam Mentor terbitan TV3 itu, dia mula berkenalan dengan Adelia sewaktu sama-sama belajar dalam bidang Filem dan Animasi di universiti tersebut.

Dia yang popular dengan lagu Dari Jauh berduet dengan Lah Ahmad daripada kumpulan V.E. tidak menduga perkenalan mereka sewaktu menuntut di MMU itu berakhir di jenjang pelamin.

“Sebenarnya, saya mula berkenalan dengan isteri kira-kira tiga tahun lepas. Ketika itu, kami sama-sama belajar dalam bidang yang sama iaitu Filem dan Animasi di MMU, Cyberjaya.

“Kami belajar dalam kelas yang sama. Mulanya hubungan kami hanya kawan biasa sahaja. Secara kebetulan kami mempunyai minat dan suka perkara yang sama iaitu menonton wayang.

“Daripada situlah hubungan kami semakin rapat dan akhirnya kami mengambil keputusan untuk berkahwin," kata Nabil pada sidang akhbar selepas majlis resepsinya di Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

Jelas Nabil, sepanjang hubungannya dengan Adelia atau lebih mesra dengan panggilan Adel, dia banyak memerhatikan tingkah laku isterinya itu dan sekali gus berjaya memikat hatinya.

Sikapnya yang pemurah terhadap insan-insan yang kurang bernasib baik paling menyentuh hati Nabil sehingga dia menganggap isterinya itu sebagai seorang yang amat baik hati.

“Saya banyak kali keluar bersama-sama isteri, contohnya sewaktu menonton wayang. Saya perhatikan dia seorang yang pemurah dan isteri saya pantang tengok peminta sedekah.

“Kalau nampak dia mesti akan menghulurkan derma kepada peminta sedekah itu tidak kiralah sedikit ataupun banyak. Itu adalah antara sifatnya yang telah menyentuh hati saya.

“Saya bersyukur kerana dipertemukan dengan seorang wanita sepertinya. Saya anggap ini adalah di antara magic ataupun keajaiban yang datang dalam hidup saya setakat ini," ujarnya.

Sebelum majlis resepsi yang dihadiri kira-kira 1,000 tetamu itu, pada sebelah paginya upacara akad nikah pasangan itu telah diadakan di Masjid Bukit Indah, Ampang, Selangor.

Bangsa, negara bukan halangan

Jodoh bagi pasangan ini tidak mengira bangsa dan sempadan negara, kerana bagi Nabil dan Adelia apa yang penting mereka saling serasi antara satu sama lain dalam banyak perkara.

Malah, kata Nabil, isterinya itu akan terus menetap di negara ini, apatah lagi setelah mendapat kerja dalam bidang animasi di syarikat produksi Animonsta Studios Sdn. Bhd. baru-baru ini.

“Keluarga saya menerima Adel walaupun dia orang Indonesia. Bagi saya perkara itu tidak menjadi isu di zaman globalisasi sekarang ini. Saya tidak nampak ada jurang bangsa atau negara.

“Apatah lagi, emak saya pun suka dengan orang seperti Adel. Keluarga Adel juga menerima saya dalam keluarga mereka dan relakan anak mereka tinggal bersama saya di Malaysia," jelasnya.

Adel yang berasal dari Jakarta, Indonesia membuktikan sempadan negara tidak menjadi halangan buatnya untuk terus berhubungan dengan keluarganya di luar negara.

Ibunya, Endah Warni dan bapa tirinya, Joe Raymond Morin yang telah menetap di Chicago, Amerika Syarikat tidak ketinggalan hadir di hari bersejarah pasangan terbabit.

Selain itu, kaum keluarga Adel dari Jakarta seramai 38 orang turut hadir bagi memeriahkan majlis resepsi yang bermula dari pukul 9 malam hingga 11.30 malam tersebut.

Pada majlis yang disulami dengan hujan lebat tidak menghalang para hadirin termasuklah artis seperti Lah Ahmad, Nora, Johan Nawawi dan Azlan Abu Hassan menyerikan majlis itu.

Dalam pada hadirin sedang menikmati juadah, Nabil sempat membuat kejutan sewaktu tampil di pentas dengan menyanyikan sebuah lagu yang tidak bertajuk buat isterinya.

Menurut Nabil, lagu itu sudah lama diciptanya dan ia dikhususkan untuk isterinya dan ia dirancang pada saat-saat akhir untuk dijadikan kejutan buat Adel dan juga para hadirin.

“Kalau boleh saya tidak mahu menyanyi tetapi selepas melihat kumpulan pemuzik latar pada malam ini berlatih maka saya pun dapat ilham untuk membuat kejutan tersebut.

“Lagu ini saya cipta khas untuk isteri yang mana liriknya adalah dalam bahasa Melayu dan Inggeris. Lagu ini saya cipta secara spontan dan setakat ini ia belum ada judulnya lagi," katanya.

Sewaktu ditanya tentang perancangan masa depannya, Nabil berkata dia akan lebih menumpukan kepada syarikat produksinya, Nabil Productions dalam dunia muzik dan filem.

Malah, dia juga belum merancang tempat-tempat tertentu untuk percutian berbulan madu bersama isterinya, sebaliknya membayangkan mahu bercuti di sekitar Indonesia.

“Kami memang ada rancangan untuk berbulan madu dan mungkin akan ke Indonesia. Cuma belum pasti di mana destinasinya. Buat masa ini kami akan bekerja seperti biasa.

“Malah, kami juga belum merancang untuk mendapat anak dalam waktu terdekat ini tetapi kalau ada rezeki (dapat anak) kami memang gembiralah dengan kurniaan Allah itu.

“Adel akan sibuk dengan kerjanya di Animonsta dan saya pula akan lebih banyak dengan kerja-kerja di belakang tabir Nabil Productions yang telah saya tubuhkan sejak 2005," ungkapnya lagi.

Sementara itu, Adel yang ditemui di sisi Nabil pula berkata, dia menerima penyanyi itu sebagai suaminya kerana tertarik dengan sifatnya yang penyabar dalam banyak perkara.

“Saya sukakan Nabil sebab dia seorang yang penyabar. Sebagai isteri saya akan lakukan yang terbaik untuknya seperti memasak apa juga makanan kegemarannya di rumah," komennya.


Sumber:Utusan malaysia