MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Selangor

Gempur Pasar Borong Selayang

Gombak: Kawasan ‘panas’ sekitar Pasar Borong Selayang, di sini, yang dijajah ratusan peniaga warga asing digempur secara besar-besaran oleh pihak berkuasa awal pagi semalam.

Dalam operasi bermula jam 9 pagi itu, sepasukan 200 anggota membabitkan Majlis Pembandaran Selayang (MPS), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) melakukan serbuan di lokasi itu.

Tindakan tegas diambil apabila 35 khemah perniagaan bersama barangan jualan milik peniaga warga asing terutama Bangladesh dan Myanmar disita.

Malah empat lori dipercayai milik peniaga haram itu turut dirampas pihak MPS.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Datuk Juhari Ahmad berkata, pihaknya kerap menerima laporan dan aduan berhubung masalah peniaga dan penjaja warga asing di sekitar Pasar Borong Selayang.

Menurutnya, bilangan peniaga haram di kawasan ini semakin meningkat sekali gus menyumbang kepada peningkatan kadar jenayah.

“Hampir setiap hari kami menerima 10 aduan berkaitan masalah kebersihan dan lalu lintas di kawasan berkenaan.

“Kami melakukan pemantauan dan risikan bagi memastikan operasi ini berjalan dengan lancar,” katanya.

Sementara itu, seorang lelaki warga Indonesia yang menetap lebih masa di negara ini cuba melarikan diri sebaik menyedari serbuan dilakukan.

Lelaki berusia 30-an itu dilihat sedang makan di sebuah gerai makan sambil diperhatikan pegawai imigresen Selangor.

Lelaki itu melarikan diri tanpa membayar harga makanan sebaik menyedari pegawai imigresen mendekatinya.

Pegawai Imigresen terpaksa mengejar lelaki itu menyebabkan berlaku pergelutan sebelum dia ditahan polis.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Source Mymetro