MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Selangor

Senjata batu

Serdang: Cubaan Geng Palembang dianggotai warga Indonesia untuk aktif semula dalam jenayah curi barangan dalam kenderaan dipecah masuk di Lembah Klang berkubur apabila 12 anggotanya ditahan dalam dua serbuan berasingan di Puchong dan Kajang, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Mohd Megat Aminuddin Megat Alias berkata, suspek berusia 20-an dan tidak bekerja itu menyewa rumah teres di Kajang dengan wang hasil jualan barangan curi.

“Pada serbuan pertama, kami menahan tiga lelaki di kawasan parkir kenderaan di Jalan Kenari 10, Puchong dan menemui tiga batu yang digunakan untuk memecah cermin kereta.

“Susulan itu, kami menyerbu rumah di Kajang dan menahan baki sembilan suspek Geng Palembang. Pemeriksaan di kediaman itu menemui tiga komputer riba, telefon pintar dan jam tangan hasil curi,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, semalam.

Katanya, Geng Palembang itu baru tiga bulan beroperasi dan mereka memecahkan cermin kereta menggunakan batu sebelum melarikan barangan berharga.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Dalam kes berasingan, beliau memaklumkan pihaknya menumpaskan Geng Pokmat dengan penahanan dua lelaki, 13 April lalu.

“Penahanan mereka membawa kepada penemuan empat kereta curi termasuk Honda Civic yang dilaporkan hilang di Pusat Bandar Puchong, Mac lalu.

“Honda Civic ditemui di Bachok, Kelantan pada 13 April, lalu,” katanya.

Menurut beliau, pada serbuan, pihaknya menahan lelaki berusia 50 tahun di Batu Caves, Selangor dan merampas Perodua Kancil yang dilaporkan hilang di Cheras.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Source Mymetro