MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Selangor

Kajian: Populariti Azmin di Selangor lonjak 62 peratus

Populariti Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di negeri itu melonjak kepada 62 peratus, menurut kaji selidik yang dijalankan oleh badan pemikir kerajaan negeri Selangor, Institut Darul Ehsan (IDE).

Ini berbanding dengan populariti beliau dalam satu tinjauan pada Ogos 2016, yang dicatatkan pada 58 peratus.

“Peningkatan ini merupakan satu petanda positif kepada kepimpinan beliau meneraju negeri Selangor untuk pilihanraya akan datang,” kata Timbalan Pengerusi IDE, Profesor Datuk Mohammad Redzuan Othman dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, peningkatan itu juga menunjukkan bahawa pendekatan mesra rakyat Selangor dan tindakan pro aktif Azmin bersama dengan kepimpinan negeri dalam menyelesaikan masalah-masalah rakyat amat berkesan dan efektif.

Beliau berkata kajian bertajuk "Survei Persepsi Rakyat Selangor 2017" itu menunjukkan bahawa sokongan kepada gabungan Pakatan di bawah kepimpinan menteri besar terus kukuh dan dijangka tidak menghadapi banyak masalah untuk mengekalkan kerajaan negeri sedia ada.

Pada masa yang sama, Redzuan berkata sokongan kepada BN di Selangor didapati semakin merosot dan amat terserlah ketidakpuasan hati rakyat dalam isu-isu berkaitan GST, kenaikan harga barang, penyelewengan, keyakinan kepimpinan dan rasuah.

Katanya, kaji selidik itu merangkumi pelbagai soalan mengenai pelbagai isu, termasuk seperti jika berlaku pertandingan dua atau tiga penjuru, pengaruh media sosial, persepsi rakyat terhadap parti-parti politik, pandangan terhadap isu-isu semasa, prestasi perkhidmatan pihak berkuasa tempatan (PBT), pencapaian inisiatif-inisiatif kerajaan negeri dan sebagainya.

Kajian itu dijalankan antara 8 hingga 13 Februari, yang melibatkan 56 DUN di Selangor dan 2,018 responden.

Responden terdiri daripada pelbagai kaum melibatkan Melayu, Cina dan India serta terdiri dari pelbagai latar belakang pekerjaan, tempat tinggal dan taraf pendidikan.

- malaysiakini