MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Selangor

Kerajaan lembap, keadaan di depot imigresen mengerikan

Suara Rakyat Malaysia (Suaram) membidas kerajaan lambat bertindak terhadap aduan keadaan teruk di pusat tahanan imigresen negara dan dakwaan penderaan di Depot Tahanan Imigresen Juru, Pulau Pinang.

Pengarah Eksekutif Suaram, Sevan Doraisamy berkata, gesaan demi gesaan dibuat masyarakat supaya kerajaan mengambil tindakan proaktif, tetapi keadaan di pusat tahanan imigresen bertambah teruk sehingga mencapai tahap menyedihkan.
 
“Kami boleh sifatkan keadaan hidup mengerikan itu sebagai pelanggaran hak asasi manusia, tetapi penyeksaan dan keganasan fizikal oleh kakitangan depot serta skala kejadian itu berlaku menjadikan isu pencabulan hak asasi manusia bertukar kepada jenayah terhadap kemanusiaan,” katanya kepada FMT semalam.
 
Sehubungan itu, Sevan menggesa agensi penguatkuasaan berkaitan menjalankan siasatan segera dan membawa pihak terbabit ke muka pengadilan.
 
Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan dua pembantu rumah Kemboja mendakwa tahanan di Depot Tahanan Imigresen Juru diseksa dan dipukul warden sehingga ada yang mati.
 
Akhbar Cambodia Daily melaporkan pengalaman dua wanita terbabit ditendang dan dipukul warden di pusat tahanan itu kerana tidak boleh berbahasa Melayu, sebelum mereka dihantar pulang pada Jun lalu, hasil usaha pertubuhan hak buruh Kemboja, Central.
 
Mereka berkata, sepanjang tinggal di sana, dia menyaksikan sendiri lima warga Kemboja dan dua warga Vietnam meninggal dunia, tiga daripadanya ialah wanita yang tinggal bersama mereka.
 
Sementara itu, Pengarah Program Tenaganita, Aegile Fernandez berkata, pusat tahanan imigresen di Malaysia “sesak, hanya sedikit makanan diberikan dengan perhatian perubatan minimum serta berlaku penderaan dan pencabulan hak asasi manusia.”
 
Aktivis hak asasi manusia, James Nayagam pula menyifatkan Depot Tahanan Imigresen Juru sebagai kem tahanan terburuk yang tidak sesuai untuk manusia dan laporan demi laporan sudah dibuatnya kepada kerajaan.
 
Semalam, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, siasatan awal mendapati dakwaan berlaku penderaan sehingga ada tahanan yang meninggal dunia di Juru tidak benar dan laporan terperinci siasatan lengkap berhubung dakwaan itu akan dikeluarkan tidak lama lagi.

- freemalaysiatoday