MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Selangor

PAN yakin kalahkan Pas PRU14 di Selangor

Belum sampai sebulan menyertai Parti Amanah Negara (PAN), Datuk Husam Musa sudah membuat kenyataan penuh yakin parti itu akan menang besar di Selangor sekiranya berlaku pertandingan tiga penjuru termasuk Pas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Beliau membuat sasaran bahawa PAN akan mendapat undi majoriti daripada pengundi, berbanding Pas berikutan rakyat lebih berminat memberi undi kepada calon PAN.
 
Mengenai DAP pula, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor itu, parti itu tidak akan tergugat dari segi perolehan undi kerana rakyat lebih berminat kepada DAP berbanding Pas.
 
"Saya telah membuat ramalan, PAN Selangor mempunyai peluang besar untuk memenangi sekurang-kurangnya tiga per empat daripada kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor.
 
"Contohnya, kalau Pas bertanding di 15 kerusi DUN dan PAN juga bertanding di kerusi yang sama dengan Pas. Sekurang-kurangnya sembilan kerusi DUN itu dimenangi oleh PAN, selebihnya milik Pas," katanya pada program sambutan setahun PAN di Muar, Johor, malam tadi.
 
Menurut Husam, Pas tidak boleh berasa selesa dengan kemenangan 15 kerusi DUN yang diperolehi parti itu di Selangor pada PRU13.
 
Ini kerana, katanya, keadaan masa kini telah berubah, serentak dengan perubahan sokongan rakyat terhadap Pas.
 
Kata beliau, di peringkat awal kemenangan lagi Pas sudah tewas sebenarnya apabila dua wakil rakyatnya iaitu ADUN Morib, Hasnul Baharudin dan ADUN Hulu Kelang, Saari Sungib sudah menyertai PAN.
 
"Pas kini tinggal 13 kerusi DUN. Pada PRU 14, kerusi Pas akan berkurangan lagi, termasuk kalah dengan calon DAP dan PKR," ujarnya.
 
- malaysiagazette