MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Selangor

Sedikit lagi, Azmin yakin struktur kepimpinan PH selesai

Pakatan Harapan (PH) sedang giat berbincang struktur kepimpinan gabungan itu, dan Datuk Seri Azmin Ali yakin ia akan diselesaikan “dalam masa singkat”.

Timbalan presiden PKR itu dipetik Oriental Daily berkata, struktur itu hanya memerlukan sedikit penyelarasan.

“Perbincangan mengenai struktur organisasi PH bukan hanya tertumpu kepada jawatan, ia turut memfokuskan persiapan setiap parti bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang, termasuk isi kandungan manifesto PRU, jadi semua masih dalam perbincangan terperinci dan penyelarasan.

“Bagaimanapun, proses rundingan berjalan lancar ketika ini dan masalah ini dijangka boleh selesai dalam masa singkat,” katanya ketika menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Selangor semalam.

Pada 22 Jun lalu, ketua pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dilaporkan berkata, pendaftaran secara rasmi PH akan dibuat selepas cuti hari raya disebabkan beberapa perkara belum diselesaikan.

Katanya, parti dalam PH sedang melakukan perbincangan berhubung struktur barisan kepimpinan sebelum dipersetujui secara konsensus oleh PKR, DAP, Amanah dan PPBM.

Mengenai sesetengah pihak yang tidak berpuas hati dengan cadangan melantik Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pengerusi PH, Azmin berkata, sebarang rundingan akan wujud perbezaan pendapat dan mereka akan mendengar semua pandangan itu.

Menteri besar Selangor itu berkata, yang penting ialah ia boleh membawa kesan dan perubahan positif pada PRU akan datang.

“Hala tuju rundingan kami tidak tertumpu kepada siapa memegang jawatan apa, sebaliknya ialah struktur macam mana paling berkesan dan berpengaruh.”

Dalam senarai pucuk pimpinan PH yang tersebar pada awal bulan lalu, Pengerusi PPBM, Dr Mahathir dikatakan dilantik sebagai pengerusi PH, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku penasihat PH.

Dr Wan Azizah pula dikatakan menjadi timbalan pengerusi PH, sementara Azmin sebagai timbalan presiden, manakala Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu pula sekadar menjadi naib presiden PH.

Bagaimanapun, Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir pada 14 Jun lalu menafikan Dr Mahathir akan dilantik sebagai pengerusi PH dan parti itu mempunyai struktur organisasi berbeza daripada senarai tersebar itu.

Dalam perkembangan lain, mengenai khabar angin Azmin akan bertanding di kawasan Ampang pada PRU14, adun Bukit Antarabangsa itu berkata, beliau berasal dari Gombak dan membesar serta keluarganya juga menetap di sana.

“Jika saya berhasrat meninggalkan kawasan Gombak, mungkin saya akan berpindah ke Pekan,” kata ahli Parlimen Gombak selama 2 penggal itu.

- freemalaysiatoday