MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Selangor

Sertai rakyat heret dalang 1MDB ke pengadilan

Timbalan Ketua Pemuda Gerakan Andy Yong sepatutnya melobi kepimpinan Gerakan supaya memberi tekanan bagi penangkapan dalang yang terlibat rasuah yang membabitkan 1MDB, kata Setiausaha Organisasi DAP Selangor Eddie Ng.

Ini susulan kenyataan Yong, bahawa adalah jelas 'Malaysian Official 1' yang dirujuk dalam saman sivil Jabatan Keadilan (DOJ), Amerika Syarikat untuk merampas aset berkaitan 1MDB adalah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak.
 
“Yong sepatutnya mengetuai Pemuda Gerakan bangkit mendesak pimpinan tertinggi Parti Gerakan serta Pengerusinya Mah Siew Keong untuk bersama-sama dengan rakyat jelata yang ingin dalang skandal 1MDB di hukum mengikut undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan.
 
Beliau berkata Yong juga harus menggalakkan pemimpin-pemimpin parti komponen BN yang lain untuk mengakui bahawa Najib terpalit sama.
 
“Mereka bukan sahaja perlu menerima hakikat bahawa itulah dalang sebenar yang telah melesapkan duit rakyat Malaysia sebanyak berbilion-bilion ringgit.
 
“Malah mereka perlu berganding bahu dengan semua rakyat Malaysia untuk mendesak Najib meletak jawatan dan diikuti dengan siasatan yang bebas daripada sebarang pengaruh daripada mana-mana pihak yang menyeluruh terhadap skandal 1MDB,” katanya.
 
Yong berkata, beliau percaya istilah 'Malaysian Official 1' yang disebut 36 kali dalam saman DOJ itu merujuk kepada Najib.
 
Bagaimanapun, beliau percaya Najib telah menerima nasihat yang salah.
 
"Saya percaya niat Najib adalah baik, tetapi entah bagaimana dimanipulasi oleh orang-orang tertentu untuk kepentingan diri.
 
"Mungkin PM juga menerima nasihat yang salah," kata Yong kepada Malaysiakini.
 
- malaysiakini