MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Selangor

Selangor naib juara Liga Super 2015

Selangor yang menduduki tangga ketiga Liga Super musim ini diberikan gelaran naib juara selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bertindak memotong enam mata yang diraih oleh Pahang.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah berkata, ia susulan kegagalan Persatuan Bola Sepak Pahang (PBNP) untuk melunaskan bayaran pampasan kepada bekas pemain import mereka dari Maghribi iaitu Mohamed Borji yang pernah beraksi bersama skuad Tok Gajah pada 2013.
 
Beliau berkata, FAM telah mendapat surat daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), baru-baru ini yang mengarahkan FAM supaya memotong enam mata daripada Pahang dalam liga domestik iaitu Liga Super selepas gagal melunaskan pampasan kepada pemain berkenaan yang ditamatkan kontrak lebih awal pada tahun yang sama.
 
Pahang sebelum ini menduduki tangga kedua Liga Super 2015 menerusi kutipan 44 mata manakala Selangor di tangga ketiga dengan pungutan 39 mata.
 
"Ekoran daripada itu, kedudukan Pahang untuk mewakili Malaysia dalam Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) musim depan tidak lagi boleh berlaku dan kita akan mencalonkan pasukan Selangor kepada AFC sebagai satu daripada wakil negara ke kejohanan berkenaan," katanya.
 
- malaysiagazette